Pemilihan
UMNO kali ini diikuti dengan penuh ‘prihatin’ oleh seluruh rakyat
kerana ia dikatakan sebagai pemilihan yang bakal menentukan hala tuju
dan identiti negara di masa depan. Menafikan betapa
gentingnya situasi bagi UMNO sekarang akan hanya mengundang pandangan
sinis rakyat, sekali gus memberi isyarat bahawa UMNO masih enggan
berubah.
Justeru,
mahu tidak mahu, UMNO wajib mengakui hakikat ini terlebih dahulu
sebagai langkah pertama untuk menghapuskan keraguan rakyat.
Walaupun
kebanyakan pemimpin UMNO hari ini merasakan mereka lebih terbuka dari
pemimpin terdahulu dan membawa ‘gaya kepimpinan’ yang berbeza yang
sesuai dengan zaman tetapi, segala keterbukaan yang dilaungkan tidak
akan memberi makna jika enggan berkata yang benar.
Jika
benar kita ingin menjadi ‘Melayu Baru’ iaitu lebih terbuka, lebih maju
dan lebih moden, maka pertama sekali kita harus berani berkata benar
sepertimana masyarakat di negara maju, moden dan terbuka juga.
Namun, kebenarannya hari ini ialah pemimpin UMNO yang menyangka mereka membawa perwatakan Melayu baru itu sebenarnya hanyalah ilusi semata-mata. Melayu baru seharusnya tiada perasaan dengki atau takutkan persaingan. Melayu baru tidak wajar membawa sikap hipokrit, malu alah, takut pada pendatang dan menyembah penjajah.
Melayu baru seharusnya berani berdiri atas keMelayuannya dengan yakin dan bukannya malu menjadi Melayu. Dan Pemuda UMNO seharusnya menjadi pencetus kepada gaya pemikiran baru ini.
UMNO
tidak wajar mengharapkan orang Melayu melonggarkan ‘keMelayuan’ mereka
di kala kaum lain tegar memperkasa dan mengasak identiti kaum mereka ke
atas Malaysia. Pemuda UMNO sepatutnya menjadi pendesak
kepada agenda Melayu, ekonomi Melayu, serta menjadi penggerak utama
dalam membentuk identiti Malaysia yang tepat, melalui BN.
Malangnya,
di bawah kepimpinan Khairy Jamaluddin, Pemuda UMNO dikatakan tersasar
jauh dari landasan UMNO malah dalam banyak keadaan dilihat memasuki
landasan bertentangan. Bukan sekali, malah telah beberapa
kali, beliau dikesan membuat kenyataan yang tidak menepati jangkaan dan
harapan akar umbi UMNO dan orang Melayu keseluruhannya.
Identiti
‘Melayu baru’ yang ingin ditonjolkan Khairy nampaknya tidak menepati
definisi akar umbi UMNO mahupun rakyat yang menyokong UMNO.
Justeru, tidak hairanlah jika beliau kini menghadapi cabaran dari 5 penjuru. Salah seorang pencabarnya ialah Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, anak sulung kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid. Beliau
yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru, Langkawi, Kedah,
membawa misi untuk menghidupkan kembali agenda perjuangan Melayu dalam
sayap Pemuda.
Seorang
lagi calon ialah Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat
Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail. Syed
Rosli mengundang perhatian ramai ketika menyerahkan borang pencalonan
apabila menyampaikan ucapan dan melafazkan sumpah laknat tidak akan
melakukan rasuah yang mana difahamkan sebagai provokasi terhadap Khairy.
Turut
menjadi calon ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Abd.
Karim Ali dengan membawa agenda utama untuk mengembalikan keyakinan
orang Melayu terhadap pergerakan Pemuda UMNO.
Manakala calon terakhir ialah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak yang tidak begitu dikenali ramai.
Jelas, agenda Melayu menjadi punca utama kenapa Khairy ditentang.
Hakikat
bahawa beliau memegang jawatan itu melalui pertandingan yang penuh
misteri dan kontroversi turut tidak membantu imej beliau. Khairy
Jamaluddin menjadi sasaran keraguan akar umbi kerana dilihat sebagai
anak muda yang rakus gara-gara mengakui ingin menjadi Perdana Menteri
menjelang usia 40 tahun.
Selain
itu, skandal di dalam GLC yang dikaitkan dengan dirinya yang tidak
pernah selesai sehinggalah ke hari ini, dilihat sebagai beban yang harus
dipikulnya selama hayat politiknya.
Lebih
dari itu, Khairy dilihat sebagai pemimpin yang hanya tahu bercakap,
beretorik, berdebat dan berhujah sahaja, tetapi tidak tahu bekerja.
Buktinya, Pemuda UMNO/BN tidak mampu menambah ahli dengan jumlah yang signifikan di bahawa pimpinan Khairy. Walaupun
sering dijulang sebagai bijak kerana merupakan lulusan universiti luar
negara yang terkemuka, Khairy tidak mampu mengutarakan walau satu pun
idea bernas untuk anak-anak muda dalam konteks ekonomi, pendidikan
mahupun pemerkasaan jatidiri.
Pendek
kata, setelah beberapa lama menerajui Pemuda, masih tiada hasil yang
mampu dituai dari pergerakan itu di bawah Khairy setakat ini. Apa
yang dilihat hanyalah program-program menonjol diri dengan publisiti
dan promosi yang mampu menimbulkan perasaan jelek di kalangan rakyat
terhadap UMNO, sekiranya tersalah langkah atau keterlaluan.
Inilah kebenarannya, dan kebenaran ini tentu sekali pahit untuk ditelan oleh Khairy mahupun UMNO. Hanya pemimpin dengan sikap keterbukaan yang sebenar sahaja yang berani mengakui kebenaran dan menelan kepahitan ini.
Namun begitu, segalanya mungkin dalam politik. Apa yang diingini rakyat, tidak semestinya apa yang diingini oleh perwakilan UMNO yang bakal mengundi. Maka,
apapun, harapan kita agar para perwakilan membuat pilihan yang bijak
agar UMNO terus kekal relevan selama-lamanya dan bukan sehingga PRU-14
sahaja.
0 comments:
Post a Comment